viernes, 6 de agosto de 2010

Galah Panjang

Asal Usul

Merupakan jenis permainan laman. Tujuan dan matlamat permainan adalah untuk mengalahkan pihak lawan melalui jumlah Bilon yang diperolehi. Perlawanan di dalam permainan ini adalah berkonsepkan ‘Pertahan’ oleh satu regu dan ‘Penyerang’ oleh satu regu yang lain.



Permainan tradisional ini dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan dan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.


Diamalkan cara permainan tradisional

Cara bermain

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Pemain terdiri daripada regu iaitu tiap-tiap regu mestilah mengandungi lima (5) orang pemain ( empat (4) orang pemain dan satu (1) simpanan ).

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan, undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Langkah permainan

jueves, 5 de agosto de 2010

Gasing

ASAL USUL

Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.


Orang lama pakar dalam permainan gasing


JENIS-JENIS GASING

Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.


Jenis-jenis gasing

CARA BERMAIN

Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing. Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan. Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.


GASING URI

Dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras.



GASING PANGKAH

Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.


Konda Kondi

ASAL USUL

Konda-kondi adalah salah satu permainan tradisional. Permainan ini merupakan salah satu ciptaan masyarakat melayu pada zaman dahulu sebagai salah satu cara untuk menghibur dan bergembira setelah penat bekerja. Konda-kondi ialah sejenis permainan memukul kayu kecil dengan kayu panjang. Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikirkan arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan konda-kondi ini merupakan salah satu permainan yang ringkas dan menyeronokkan.



Permainan Konda kondi

TUJUAN PERMAINAN

Permainan ini menguji kepintaran pemain memukul kayu dan mengelaknya daripada disambut oleh pemain lawan.

KAWASAN PERMAINAN

Kawasan yang terbuka dan lapang

PERALATAN

Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada: Dua batang kayu kecil berukuran 15cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil ‘anak’ dan yang panjang dipanggil ‘ibu’Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.

CARA BERMAIN

Sediakan dua batang kayu iaitu, satu kayu pendek berukuran ½ kaki dan satu kayu panjang berukuran 1 kaki. Sebuah lubang dikorek di tempat permainan. Kayu pendek diletakkan secara melintang di atas lubang. Pemain dibahagikan kepada dua pasukan. Setiap pasukan sama banyak bilangannya. Undian di buat bagi menentukan kumpulan mana yang main dahulu. Pemain yang memulakan permainan akan berdiri dekat lubang tempat bermain. Pasukan lawan pula akan berdiri di serata tempat. Permainan akan dimulakan dengan pemain menguis kayu pendek ke hadapan dengan mengunakan kayu panjang. Ukur jarak kayu pendek itu dari lubang dengan kayu panjang. Apabla pihak lawan dapat menangkap kayu pendek, pasukan yang bermain dikira mati. Mata akan dikira daripada bilangan ukuran yang dibuat. Permainan diteruskan apabila pemain berjaya melaksanakan langkah 1. Mata yang dikumpulkan oleh pemain-pemain dalam pasukan itu dicampurkan bagi mendapatkan jumlah keseluruhan. Kumpulan yang mengumpul bilangan mata terbanyak akan memenangi permainan itu.


Cara bermain konda kondi

UNDANG-UNDANG PERMAINAN

Sepanjang permainan ini, jika kayu pendek itu dapat ditangkap oleh sesiapa dalam kumpulan B, jadi pemain yang menguis kayu pendek dikira ‘mati’. Jika pemain dalam kumpulan B berjaya menangkap kayu pendek dengan menggunakan satu tangan sahaja, semua pemain dalam kumpulan A dikira ‘mati’ dan kumpulan B akan memulakan permainan pula. Jika kumpulan lawan berjaya mencampakkan kayu pendek ke dalam lubang, pemain yang menguis kayu pendek dikira ‘mati’ dan terpaksa memberhentikan permainan, pemain lain dari kumpulan yang sama, pemain yang seterusnya pula akan meneruskan permainan.

Wau

LATAR BELAKANG WAU


Menurut sejarawan Clive Hart, wau ataupun layang-layang di Malaysia ini mendapat nama daripada negara China kerana rekabentuk dan karektornya yang sama seperti di China. Permainan ini dimainkan sejak 500 tahun dahulu dan dimainkan di kawasan pedalaman seperti pantai dan tanah lapang.


Wau berasal daripada perkataan Thailand manakala negeri-negeri di Pantai Barat menggunakan perkataan layang-layang berdasarkan catatan Tun Sri Lanang. Selain itu nama wau dikaitkan dengan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau dan apabila dinaikkan ke udara daun ibus yang diikat pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi ‘wau’, ‘wau’ secara berirama.


Permainan ini juga dikaitkan dengan unsur mitos iaitu ‘Semangat Padi’. Dikatakan sepasang suami isteri yang telah terjumpa seorang bayi dan mereka membela bayi itu sehingga dewasa, tetapi si isteri telah menyeksa anak itu sehingga anak itu melarikan diri. Akibatnya padi pada waktu itu tidak menjadi kerana kononnya anak itu adalah ‘Semangat Padi’


Mencari angin yang sesuai

CARA PEMBUATAN

Untuk menghasilkan wau yang berkualiti, bahan mentah seperti buluh pelu dipilih dengan teliti. Oleh itu terdapat pantang larang dalam pemilihan buluh dan penebangan. Selepas itu buluh akan disimpan sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut dan selapas itu proses membuat bingkai serta membuat tanah akan dilakukan.

Proses yang seterusnya adalah mengukur, melukis, dan menyobek haruslah diberi penekanan kerana ia merupakan elemen yang penting..Jambul atau rambu dipasang pada rangka ekor dan selepas itu proses membuat dan memasang belalai.


Orang berpengalaman menghasilkan wau

CARA BERMAIN WAU

Kawasan yang paling sesuai untuk bermain wau adalah di tanah lapang seperti di tepi pantai, dan sawah. Oleh sebab itu permainan ini lebih popular di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Terdapat 3 unsur yang akan mempengaruhi kenaikan wau iaitu tekanan angin, daya tarikan graviti, dan juga daya seretan. Permainan wau ini dimainkan menggunakan satu tali sahaja kerana akan memudahkan ia dikawal serta diterbangkan. 2 cara digunakan bagi menaikkan atau melancarkan wau iaitu pelancaran jarak dekat dan pelancaran jarak jauh

Wau yang terbang perlu dikawal agar talinya tidak putus dan jatuh ke tanah. Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau agar wau tidak jatuh ke tanah.Bagi menurunkan wau memerlukan dua pemain iaitu penarik tali dan penggulung tali.


Orang lama bermain wau

KEDUDUKAN WAU PADA MASA SEKARANG

Walaupun pada masa dahulu permainan ini hanya dimainkan oleh golongan kampung tetapi pada hari ini wau telah diperkenalkan sehingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivaks International Guests. Hasil sambutan festival ini sangat memberangsangkan terutama peserta dari luar negara. Ini cukup membuktikan bahawa permainan tradisional juga mempunyai potensi untuk dikomersialkan jadi warisan tradisional ini haruslah dikekelkan kerana ia merupakan identiti budaya bangsa Melayu

Pelbagai bentuk wau

Guli

ASAL USUL


Permainan guli adalah permainan tradisional melayu yang digemari oleh kanak-kanak pada masa lapang terutamanya pada zaman dahulu. Permainan guli ini juga dikenali sebagai Kelereng.Permainan guli ini dimainkan secara melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Permainan ini biasanya dimainkan oleh kanak-kanak terutamanya kanak-kanak lelaki yang berumur antara tujuh hingga dua belas tahun. Kawasan yang paling sesuai untuk dijadikan gelanggang adalah di tempat yang teduh, tanah rata dan kawasan yang lapang.


Hal ini demikian kerana pemain mengharapkan tanah kering untuk menggali lubang. Apabila tanah becek, permainan guli tidak menyeronokkan kerana buah guli akan melengket pada tanah dan menyukarkan prosaes permainan tersebut.

Pada zaman dahulu, potongan-potongan kayu dibulatkan sebesar sebiji telur ayam untuk dijadikan sebiji guli. Selepas Perang Dunia Pertama, guli dibuat daripada bahan atau batu kapur yang diadukkan dengan simen dan sebesar ibu jari kaki. Jumlah pemain dalam permainan ini tidak melebihi lima orang.


Permainan guli digemari oleh kanak-kanak
GELANGGANG

Untuk memulakan permainan, gelanggang perlu dibuat terlebih dahulu. Yang pertama pemain perlu melukis bulatan di atas tanah berukuran garis pusat 1meter dan ditengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm, lebar dan sedalam 7sm dengan cara menghentakkan tumit kaki ke tanah. Lubang tersebut dikenali sebagai lubang induk. Seterusnya, satu garisan lurus dibina dengan jarak 3meter daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.


Gelanggang guli

CARA BERMAIN

Bagi memulakan permainan ini, setiap pemain perlulah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk atau pun lubang utama. Guli yang telah masuk ke dalm lubang induk atau yang paling hampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama yang memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.

Seterusnya, pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yan berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar dari bulatan tersebut. Sekiranya jentikan tidak mengenai guli yang ada di dalam bulatan tersebut ianya dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, dan proses ini berterusan sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lain.

Selain itu, pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan bersyarat, iaitu pemain perlulah memasukkan guli miliknya terlebih dahulu ke dalam lubang induk. Pemain akan memastikan guli miliknya akan sentiasa berada berdekatan dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Hal ini demikian kerana untuk memudahkan mereka mengawal pemainan tersebut.

Seterusnya, apabila tiba pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain akan mengambil alih giliran tersebut dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh membuat jentikan terhadap guli pihak lawan.Sekiranya guli tersebut tidak memasuki lubang induk, tiba pula giliran pemain lain.

Di samping itu, kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli pihak lawan sehingga semua pemain selesai giliran. Terdapat dua cara dendaan yang akan dikenakan kepada pemain yang memungut jumlah mata yang paling rendah. Cara pertama ialah pemain yang kalah tersebut akan memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk atau lubang utama dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara yang kedua adalah dengan setip pemain perlu menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.


Sedang bermain guli


Bermacam-macam jenis guli

Jala Itik

Asal Usul

Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, Cuma lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan. Lazimnya permainan ini perlu dimainkan lebih daripada empat orang. Kebiasaannya permainan tradisional ini lebih digemari oleh kanak-kanak perempuan daripada kanak-kanak lelaki.



Permainan Jala itik

Cara bermain

Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaannya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan pra ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan. Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.

Kanak-kanak gembira bila di tangkap


Lagu jala itik

“Jan-jan jala

Jala itik jala ayam

Berapa lubang kancil?

Seratus lima puluh

Singgah Cik Dayang singgah

Makan sireh mulut merah”

Menentukan pemain

Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.



Pertukaran pemain

Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangi jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli paling ramai.

Menentukan pemenang

Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu,dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.


Tradisional Congkak

ASAL USUL

Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan. Lazimnya ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak menggunakan biji getah atau guli yang diisi sama banyak. Terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Sebanyak lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai “kampung”dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai “rumah”.Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya 80 cm dan lebarnya 18 cm. Permainan ini memerlukan dua orang pemain yang berkedudukan menghadap satu sama lain.



Congkak

Latar Belakang

Congkak dipercayai berasal dari Afrika atau Arab. Walaubagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh ahli kaji purba ialah kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh 5000 SM hingga 7000 SM di Jordan. Dari Timur Tengah permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab. Di Asia Tenggara congkak berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada ketika itu.

Nama congkak berasal daripada perkataan Bahasa Melayu “congkak” yang bermaksud pengiraan mental.Di kepulauan Caribbean, congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba dan di sana permainan ini dikenali sebagai warri atau awari. Manakala di Indonesia pula, congkak dikenali dengan nama congklak dan di Filipina dipanggil sungka.

Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara dalam kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah.

Kini,terdapat pelbagai jenis congkak yang diperbuat daripada bahan plastik. Penggunaannya lebih selamat,ringan dan selesa. Selain itu, terdapat juga congkak digital yang boleh dimainkan terus daripada internet. Kemudahan teknologi zaman ini telah membantu dalam menarik minat golongan muda tentang pernainan congkak.


Permainan yang digemari zaman dahulu

Cara Bermain

1.Dua orang pemain duduk menghadap papan congkak dan kedua-dua pemain serentak mencapai buah masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu ke dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.

2.Gerakan diteruskan sehingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau pihak lawan dan pemain hendaklah berhenti sekiranya buah jatuh atau mati di kampung sendiri.Pemain boleh menembak kampung lawan iaitu mengaut semua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.

3.Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan sehingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh ke dalam rumah sendiri,pemain boleh meneruskan permainan. Jika buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan maka permainan mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh meneruskan permainan sehingga mati.

4.Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain walaupun giliran berada di pihaknya, maka giliran menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.

5.Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap “terbakar”. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan kedua, ketiga dan seterusnya sehingga pihak lawan mengaku kalah.

6.Pada akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah terbanyak. Jika jumlah buah sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.
Congkak Moden

Permainan congkak dalam tanah


Teng Teng @ Ketingting

ASAL USUL


Teng-teng atau lebih dikenali sebagai ketinting adalah sejenis permainan tradisional yang selalu dimainkan oleh kanak-kanak. Kebiasaannya permainan ini selalu dimainkan oleh kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki. Hal ini demikian kerana permainan ini tidak begitu lasak dan hanya menggunakan kaedah lompatan satu kaki dan dua kaki. Permainan ini hanya memerlukan pemerhatian di gelanggang yang kecil sahaja. Teng-teng hanya dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak yang terdiri daripada dua hingga empat orang sahaja. Sekiranya lebih,ianya akan mendatangkan kesukaran bagi setiap pemain untuk bermain kerana hanya dimainkan di kawasan yang bersaiz kecil sahaja.



Permainan ketingting


GELANGGANG&GUNDU(BUAH TENG-TENG)

Di kawasan kampung,gelanggang dibuat hanya menggoreskannya di atas tanah sahaja. Gelanggang ini memerlukan kawasan yang rata untuk menggoreskannya. Di kawasan perumahan atau pekan yang tiada halaman bertanah,mereka menggunakan kapur tulis untuk dilukis di kawasan jalan bertar. Terdapat sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang.

Selain dari gelanggang,gundu atau buah teng-teng juga penting dalam permainan ini. Gundu mestilah berbentuk leper dan anggaran saiz bagi gundu adalah sebesar duit syiling 50sen. Antara benda yang boleh dijadikan gundu ialah pecahan pinggan,kepingan besi dan batu yang leper. Gundu berperanan sebagai tanda bagi para pemain untuk menggerakkan kedudukan mereka di petak gelanggang.

Contoh permainan Ketingting

UNDIAN

Sebelum memulakan permainan ini,pemain haruslah melakukan undian untuk mengetahui pemain mana yang harus memulakan permainan dahulu. Sesetengah undian dengan cara memilih batang ranting atau lidi. Pemain yang memiliki batang ranting atau lidi yang terpanjang akan memulakan permainan dahulu dan begitulah sebaliknya. Selain itu, undian juga boleh dibuat dengan menggunakan kaedah lai la li tam plong.


CARA BERMAIN

Pada permulaan permainan,pemain hendaklah mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara mambelakangkan petak. Setelah selesai melepasi parmainan pertama,kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah sama. Pemain dianggap mati atau hilang giliran jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar dari petak tersebut. Setelah pemain mati atau hilang giliran,pemain lain akan mengambil bahagian pula.

Pemain dikehendaki melompat ke dalam kesemua petak dengan sebelah kaki kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan dimana gundu berada di petak pertama,maka pemain hendaklah melompat terus ke petak kedua dan petak seterusnya.

Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan,setibanya di petak kedua dan keempat,pemain hendaklah memijak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu,pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.

Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana gundu berada di dalamnya samada kepunyaannya sendiri atau pihak lawan. Jika ini berlaku ia dikira mati,giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.

MEMBINA RUMAH

Bagi mendapatkan rumah pemain perlulah berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan di situlah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh di atas garisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain mestilah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan memijak petak rumah lawan. Sekiranya pemain lain memijaknya atau rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.

PEMENANG

Pemenang dikira berdasarkan jumlah rumah terbanyak yang dapat dikumpul oleh pemain.

MATI

Pemain dikira mati sekiranya buah yang dilontar dan kaki terkena garisan petak,buah yang dilontar tidak masuk ke dalam petak yang sepatutnya,serta pemain menukar kaki sewaktu giliran. Selain itu juga,pemain itu akan dianggap mati apabila terlupa memijak dua belah kaki serentak ke dalam sayap iaitu kaki kiri di petak sayap kiri dan kaki kanan dalam sayap petak kanan,pemain tidak memijak dua kaki serentak dalam petak rumahnya serta memijak kaki ke rumah pemain lawan.


Tapak ketingting moden


Batu Seremban

ASAL USUL


Batu Seremban dikenali juga sebagai Selambut atau Serembat. Permainan ini biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara individu atau berkumpulan yakni dua orang atau lebih. Kebiasaannya pemain menggunakan guli kaca,biji getah,ketulan batu kerikil,atau objek lain berbentuk bulat. Secara amnya,permainan ini dimainkan pada waktu lapang,di serambi rumah,di dalam rumah atau dimana sahaja dengan syarat permukaan tersebut rata dan bersih.


Permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak pereempuan



UNDIAN


Sebelum memulakan permainan,setiap pemain dikehendaki menimbang buah,bagi menentukan giliran. Para pemain akan menimbang kesemua buah dengan meletakkannya diatas tangan dan dilambungkan ke udara. Kemudian disambut dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut akan dikira sebagai mata.


CARA BERMAIN

Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permulaan permainan pemain akan menggunakan sebiji buah yang dinamakan Buah Satu sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi yang dinamakan Buah Tujuh.



BUAH SATU

Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai dan tidak bersentuhan antara satu sama lain. Sebiji buah akan diambil untuk dijadikan ibu.Kemudian ibu hendaklah dilambungkan ke udara dan dalam masa yang sama sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Seterusnya,pemain hendaklah menyambut buah ibu dan meletakkannya didalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan ini akan berterusan sehingga kesemua buah habis dilambung dan disambut.

BUAH DUA

Cara buah dua dimainkan adalah sama seperti buah satu tetepi buah yang dikutip mestilah dua biji serentak.Ini bermakna dua kali lambungan buah ibu dilakukan.

BUAH TIGA

Seterusnya,buah tiga. Cara bermain buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu,pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga bbiji buah serentak.

BUAH EMPAT

Pada peringkat buah empat,pemain akan mengutip kesemua empat biji buah di diatas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan tadi.

BUAH LIMA

Peringkat ini merupakan urutan bagi peringkat buah empat. Sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah,sebiji daripadanya hendaklah dilambungkan dan empat biji lagi hendaklah diletakkan diatas lantai bagi menyambut buah ibu sahaja.

BUAH ENAM

Seterusnya,di tahap ini terdapat perbezaan. Perbezaan ini dinamakan buah tukar,dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat diatas lantai sehingga selesai.

BUAH TUJUH

Buah tujuh adalah urutan dari peringkat buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serentak. Sementara itu,sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan manakala sebiji di sebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkan,hendaklah disambut.

MENIMBANG

Setelah selesai kesemua peringkat,pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Pada peringkat ini terdapat dua kaedah menimbang buah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain,mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk ,maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya. Sekiranya pemain dapat bermain sehingga ke peringkat menimbang dengan memperolehi mata,maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula,buah satu dan seterusnya sehingga mati.

MATI PERMAINAN

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan terkena biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan tamat) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.

Batu seremban yang pelbagai warna

martes, 3 de agosto de 2010

Sepak Raga

Sejarah Sepak Raga


Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.


Permainan yang diminati rakyat jelata

Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.

Bola raga

Cara Bermain

Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.

Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.




Bermain di dalam gelangang bulatan
cara menimbang bola raga itu

 
Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.