jueves, 5 de agosto de 2010

Tradisional Congkak

ASAL USUL

Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan. Lazimnya ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak menggunakan biji getah atau guli yang diisi sama banyak. Terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Sebanyak lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai “kampung”dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai “rumah”.Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya 80 cm dan lebarnya 18 cm. Permainan ini memerlukan dua orang pemain yang berkedudukan menghadap satu sama lain.



Congkak

Latar Belakang

Congkak dipercayai berasal dari Afrika atau Arab. Walaubagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh ahli kaji purba ialah kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh 5000 SM hingga 7000 SM di Jordan. Dari Timur Tengah permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab. Di Asia Tenggara congkak berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada ketika itu.

Nama congkak berasal daripada perkataan Bahasa Melayu “congkak” yang bermaksud pengiraan mental.Di kepulauan Caribbean, congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba dan di sana permainan ini dikenali sebagai warri atau awari. Manakala di Indonesia pula, congkak dikenali dengan nama congklak dan di Filipina dipanggil sungka.

Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara dalam kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah.

Kini,terdapat pelbagai jenis congkak yang diperbuat daripada bahan plastik. Penggunaannya lebih selamat,ringan dan selesa. Selain itu, terdapat juga congkak digital yang boleh dimainkan terus daripada internet. Kemudahan teknologi zaman ini telah membantu dalam menarik minat golongan muda tentang pernainan congkak.


Permainan yang digemari zaman dahulu

Cara Bermain

1.Dua orang pemain duduk menghadap papan congkak dan kedua-dua pemain serentak mencapai buah masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu ke dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.

2.Gerakan diteruskan sehingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau pihak lawan dan pemain hendaklah berhenti sekiranya buah jatuh atau mati di kampung sendiri.Pemain boleh menembak kampung lawan iaitu mengaut semua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.

3.Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan sehingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh ke dalam rumah sendiri,pemain boleh meneruskan permainan. Jika buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan maka permainan mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh meneruskan permainan sehingga mati.

4.Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain walaupun giliran berada di pihaknya, maka giliran menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.

5.Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap “terbakar”. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan kedua, ketiga dan seterusnya sehingga pihak lawan mengaku kalah.

6.Pada akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah terbanyak. Jika jumlah buah sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.
Congkak Moden

Permainan congkak dalam tanah


No hay comentarios.:

Publicar un comentario